Kumpulan PUTRA Seni

Kumpulan PUTRA Seni (KPS) ditubuhkan secara rasmi pada 5 Disember 1984. Ia berterusan memanifestasikan agenda sastera-budaya Negara Brunei Darussalam dalam persembahan seni pentas baik di dalam mahupun di luar negara. Relevansinya sebagai sebuah persatuan belia dibuktikan dengan penyertaan golongan belia di dalam kegiatan-kegiatan yang diungkayahkan oleh kumpulan ini. Sebagai sebuah persatuan belia yang bergabung dengan Majlis Belia Brunei, KPS memberikan komitmen penuh terhadap program-program yang dilaksanakan oleh pihak majlis. KPS sering mendapat kepercayaan untuk membuat persembahan di dalam acara-acara rasmi di peringkat kebangsaan malah juga sering menerima undangan dari luar negara untuk mempersembahkan teater dan seni budaya kontemporari. KPS juga pernah diundang untuk mengendalikan bengkel teater di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Dengan kapisiti tenaga yang ada, KPS telah meneroka banyak dimensi baru dalam seni persembahan. Ini termasuklah persembahan manifestasi puisi yang dipelopori sejak tiga dekad yang lalu. Apa yang ada di sebalik PUTRA SENI? P: Pentomim, Prolog, Pidato, Pencak Silat. PU: Puisi. T: Teater, Tarian, Tablo, Tatoo. RA: Drama Pentas, Radio dan Televisyen. SENI: Seni budaya yang ditontonkan secara Pentomim, Pencak Silat, Puisi, Teater, Tarian, Drama dan sebagainya yang bersifat keBruneian, keIslaman dan Pendidikan seimbang dengan kepentingan nasional.

COGAN KATA KUMPULAN PUTRA SENI

Khamis, 23 Februari 2012

Awang Mohd Zefri Ariff harumkan nama Negara Brunei Darussalam


BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb - Penulis prolifik negara Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff (gambar) hari ini menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) dalam satu majlis anugerah yang dipengerusikan oleh Puteri Sirivannavari Nariratana di Oriental Hotel, Bangkok.

Anugerah Penulis Asia Tenggara merupakan pengiktirafan yang diberikan khusus kepada penulis terkenal dan dicontohi di rantau ini. Anugerah berprestij ini merupakan wadah untuk para pemenang bagi mempercepatkan kemajuan mereka dalam bidang kesusasteraan dan mewujudkan pendedahan kepada masyarakat antarabangsa mengenai latar belakang sosial dan kebudayaan yang pelbagai.

Awang Mohd Zefri Ariff terlibat aktif dalam seni dan budaya, bahasa, media massa dan pergerakan belia. Selain itu beliau juga mengambil bahagian dalam perkhidmatan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pendeklamasian puisi Awang Mohd Zefri dan persembahan teater hasil karyanya telah dilihat di seluruh rantau ini, dan bukunya "Rapat" telah memenangi Hadiah Mastera pada tahun 2003.

Dalam pengiktirafan ini, beberapa panel telah dipilih menjalankan proses pemilihan untuk mencalonkan penulis tempatan di beberapa negara-negara dari rantau ini, termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Anugerah Penulis Asia Tenggara.

Calon penerima mestilah menghasilkan kerja individu dengan genre pilihan mereka seperti cerpen, novel, drama dan puisi yang berkualiti tinggi, yang diiktiraf oleh para pengkritik.

Dengan penganugerahan ini, Zefri Ariff menjadi penerima ke-26 Anugerah Penulis Asia Tenggara sejak bermulanya penganugerahan pada tahun 1986.

Pemenang Anugerah SEA Write juga diberikan penghormatan mengukir nama-nama mereka pada dinding Oriental Hotel, Bangkok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan