Kumpulan PUTRA Seni

Kumpulan PUTRA Seni (KPS) ditubuhkan secara rasmi pada 5 Disember 1984. Ia berterusan memanifestasikan agenda sastera-budaya Negara Brunei Darussalam dalam persembahan seni pentas baik di dalam mahupun di luar negara. Relevansinya sebagai sebuah persatuan belia dibuktikan dengan penyertaan golongan belia di dalam kegiatan-kegiatan yang diungkayahkan oleh kumpulan ini. Sebagai sebuah persatuan belia yang bergabung dengan Majlis Belia Brunei, KPS memberikan komitmen penuh terhadap program-program yang dilaksanakan oleh pihak majlis. KPS sering mendapat kepercayaan untuk membuat persembahan di dalam acara-acara rasmi di peringkat kebangsaan malah juga sering menerima undangan dari luar negara untuk mempersembahkan teater dan seni budaya kontemporari. KPS juga pernah diundang untuk mengendalikan bengkel teater di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Dengan kapisiti tenaga yang ada, KPS telah meneroka banyak dimensi baru dalam seni persembahan. Ini termasuklah persembahan manifestasi puisi yang dipelopori sejak tiga dekad yang lalu. Apa yang ada di sebalik PUTRA SENI? P: Pentomim, Prolog, Pidato, Pencak Silat. PU: Puisi. T: Teater, Tarian, Tablo, Tatoo. RA: Drama Pentas, Radio dan Televisyen. SENI: Seni budaya yang ditontonkan secara Pentomim, Pencak Silat, Puisi, Teater, Tarian, Drama dan sebagainya yang bersifat keBruneian, keIslaman dan Pendidikan seimbang dengan kepentingan nasional.

COGAN KATA KUMPULAN PUTRA SENI

Jumaat, 24 Februari 2012

Makluman- Bengkel Teater





Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Adakah awda berminat dengan seni pementasan? 


Adakah awda berminat dengan teater?
Adakah awda ingin menjadi seniman?
ataupun awda ingin menghalusi bakat awda dengan teknik yang betul?

Kumpulan PUTRA Seni akan mengadakan bengkel Pementasan drama teater yang akan dimulakan pada 28 Februari 2012 ini.

Orang ramai khususnya belia (40 tahun ke bawah) yang berminat adalah dialu-alukan untuk hadir pada hari tersebut pada jam 7.00 malam di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan di bilik pejabat Kumpulan PUTRA Seni (KPS) no. 9. Setiap peserta yang hadir dikehendaki untuk mendaftar terlebih dahulu pada AJK Kumpulan PUTRA Seni. Pendaftaran adalah PERCUMA. Anda diminta untuk  berpakaian sukan (sport attire) untuk mempermudahkan  biskita bergerak ketika bengkel diadakan nanti.

Untuk maklumat lanjut mengenai bengkel ini, anda boleh mengunjungi Facebook KPS, Kumpulan Putra Seni.

Terima Kasih.

Khamis, 23 Februari 2012

Mesyuarat KPS

Assalamualaikum buat warga Kumpulan Putra Seni.


Perjumpaan KPS akan diadakan pada 24hb Februari 2012. Pada pukul 2.30 petang bertempat di Pejabat Kumpulan Putra Seni, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan

Antara agenda yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat ini ialah berkenaan bengkel teater yang akan di adakan oleh KPS di Pusat Belia.

Harap maklum dan sila umumkan hal ini kepada kerabat KPS yang lain. Terima kasih.

Awang Mohd Zefri Ariff harumkan nama Negara Brunei Darussalam


BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb - Penulis prolifik negara Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff (gambar) hari ini menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) dalam satu majlis anugerah yang dipengerusikan oleh Puteri Sirivannavari Nariratana di Oriental Hotel, Bangkok.

Anugerah Penulis Asia Tenggara merupakan pengiktirafan yang diberikan khusus kepada penulis terkenal dan dicontohi di rantau ini. Anugerah berprestij ini merupakan wadah untuk para pemenang bagi mempercepatkan kemajuan mereka dalam bidang kesusasteraan dan mewujudkan pendedahan kepada masyarakat antarabangsa mengenai latar belakang sosial dan kebudayaan yang pelbagai.

Awang Mohd Zefri Ariff terlibat aktif dalam seni dan budaya, bahasa, media massa dan pergerakan belia. Selain itu beliau juga mengambil bahagian dalam perkhidmatan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pendeklamasian puisi Awang Mohd Zefri dan persembahan teater hasil karyanya telah dilihat di seluruh rantau ini, dan bukunya "Rapat" telah memenangi Hadiah Mastera pada tahun 2003.

Dalam pengiktirafan ini, beberapa panel telah dipilih menjalankan proses pemilihan untuk mencalonkan penulis tempatan di beberapa negara-negara dari rantau ini, termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Anugerah Penulis Asia Tenggara.

Calon penerima mestilah menghasilkan kerja individu dengan genre pilihan mereka seperti cerpen, novel, drama dan puisi yang berkualiti tinggi, yang diiktiraf oleh para pengkritik.

Dengan penganugerahan ini, Zefri Ariff menjadi penerima ke-26 Anugerah Penulis Asia Tenggara sejak bermulanya penganugerahan pada tahun 1986.

Pemenang Anugerah SEA Write juga diberikan penghormatan mengukir nama-nama mereka pada dinding Oriental Hotel, Bangkok.

Khamis, 16 Februari 2012

Mahrajan Persuratan Dan Kesenian Islam Nusantara

 KIRA-KIRA 300 sasterawan, budayawan dan sarjana dalam dan luar negara bakal menyertai Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara diadakan di Membakut, bermula 8 hingga 11 Februari ini. 

Mahrajan atau festival itu juga akan memperkenalkan dua anugerah persuratan dan kesenian Islam kepada dua tokoh yang memberi sumbangan besar ke arah perkembangan persuratan serta kesenian Islam di negara masing-masing dan wilayah nusantara amnya.
 
Ketua Satu, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Jasni Matlani, berkata festival itu menegaskan persuratan dan kesenian Islam memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jati diri bangsa serta menyerlahkan nilai murni sesuai dengan tuntutan Islam.
 
“Acaranya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu ilmiah melalui persidangan, forum sastera Islam dan ziarah sastera, manakala aspek kesenian pula di sekolah pilihan melalui persembahan kesenian Islam Nusantara oleh kumpulan daripada masyarakat setempat serta Medan dan Aceh, Indonesia. 

“Sebanyak 16 kertas kajian berkaitan persuratan dan kesenian Islam dibentangkan oleh tokoh pengkaji, manakala ucap utama, Transformasi dalam Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara, disampaikan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah,” katanya kepada Sastera, baru-baru ini. 

Jasni berkata, pembentang dari luar negara yang dijemput ialah Pengarah Penerangan Agama Islam Kementerian Agama Indonesia, Euis Sri Mulyani; Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Morsidi Muhamad dan Mohammed Zefri Ariff Mohammed Zain Ariff; Pensyarah Universiti Islam Yala, Thailand, Phaosan Jehwae dan novelis Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy. 

“Dalam konteks kesenian pula, Pengiran Abdul Rahman Pengiran Ali daripada Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) memperkatakan pantun Barunai dan Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Mohd Ali Hanafiah (zapin), manakala pembentang daripada BAHASA membincangkan seni badundang dan nasyid. 
“Persuratan dan kesenian Islam pula dikupas oleh Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar; Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsuddin Othman,” katanya. 

Dalam konteks Sabah, Jasni berkata, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Zubaidi Abas, akan menyorot Bahasa Sebagai Wahana Penting Dalam Konteks Pengembangan Persuratan Islam di Sabah dan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Dr Muhyiddin Yusin berkongsi Transformasi Persuratan dan Kesenian di Peringkat Sekolah di Sabah. 

“Forum Transformasi Persuratan dan Kesenian Islam di Malaysia: Harapan dan Cabaran turut diadakan yang menampilkan ahli panel, iaitu Prof Madya Dr Hashim Ismail dan Datuk Zainal Abidin Borhan daripada GAPENA; Chacho Bullah dan Jalidar (BAHASA) serta Habiburrahman. 

“Kita turut menerapkan aktiviti kemasyarakatan sempena festival ini melalui persembahan kesenian Islam Nusantara, majlis makan malam atau kenduri sekampung bersama peserta dan masyarakat setempat,” katanya. 

Jasni berkata, program itu akan diadakan secara dwitahunan dan Sekreteriat Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara pula diwujudkan di Membakut bagi memastikannya berterusan dan mendapat sumbangan dana daripada kerajaan negeri dan pusat. 

“Program ini juga bukan saja menjadi daya tarikan baru bagi Membakut, bahkan akan memperkenalkan lagi daerah ini sebagai dataran ilmu dan kesenian Islam di Sabah, selain pada peringkat kebangsaan dan Nusantara. 

“Kami mengharapkan festival ini dapat menjadi perintis kepada kegiatan yang lebih besar pada masa hadapan, sekali gus melestarikan persuratan dan kesenian Islam di Sabah, negara dan serantau,” katanya. 
Mahrajan akan dirasmikan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, manakala majlis perasmian penutup oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Srifin Mohd Arif. 

http://www.kmasjid.com.my