Kumpulan PUTRA Seni

Kumpulan PUTRA Seni (KPS) ditubuhkan secara rasmi pada 5 Disember 1984. Ia berterusan memanifestasikan agenda sastera-budaya Negara Brunei Darussalam dalam persembahan seni pentas baik di dalam mahupun di luar negara. Relevansinya sebagai sebuah persatuan belia dibuktikan dengan penyertaan golongan belia di dalam kegiatan-kegiatan yang diungkayahkan oleh kumpulan ini. Sebagai sebuah persatuan belia yang bergabung dengan Majlis Belia Brunei, KPS memberikan komitmen penuh terhadap program-program yang dilaksanakan oleh pihak majlis. KPS sering mendapat kepercayaan untuk membuat persembahan di dalam acara-acara rasmi di peringkat kebangsaan malah juga sering menerima undangan dari luar negara untuk mempersembahkan teater dan seni budaya kontemporari. KPS juga pernah diundang untuk mengendalikan bengkel teater di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Dengan kapisiti tenaga yang ada, KPS telah meneroka banyak dimensi baru dalam seni persembahan. Ini termasuklah persembahan manifestasi puisi yang dipelopori sejak tiga dekad yang lalu. Apa yang ada di sebalik PUTRA SENI? P: Pentomim, Prolog, Pidato, Pencak Silat. PU: Puisi. T: Teater, Tarian, Tablo, Tatoo. RA: Drama Pentas, Radio dan Televisyen. SENI: Seni budaya yang ditontonkan secara Pentomim, Pencak Silat, Puisi, Teater, Tarian, Drama dan sebagainya yang bersifat keBruneian, keIslaman dan Pendidikan seimbang dengan kepentingan nasional.

COGAN KATA KUMPULAN PUTRA SENI

Jumaat, 16 Januari 2015

Kumpulan PUTRA Seni di Hari Belia 2014





Kumpulan PUTRA Seni yang telah diwakili oleh Ketua 2 KPS, telah dianugerahkan Anugerah Persatuan Belia dengan menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah BND5,000 berserta sebuah plak dan sijil penghargaan.

Ketua 1 Kumpulan PUTRA Senim Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd. Zain Ariff menerima anugerah Pemimpin Belia Berjasa dengan menerima hadiah wang tunai berjumlah BND3,000 berserta sebuah plak, kain tenunan dan sijil penghargaan.





Sambutan Hari Belia 2014 diserikan lagi dengan persembahan Belia 'Bersatu Menghadapi Cabaran Abad ke-21' yang membawakan bacaan sajak bertajuk 'Kalau Ada Orang Bertanya' yang dipersembahkan oleh ahli-ahli 
Kumpulan PUTRA Seni. 

Booth pameran Kumpulan PUTRA Seni ketika Hari Belia tersebut.


DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ketika berkenan menyaksikan Pameran KPS.

Hari Belia 2014



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima junjung ziarah sejurus keberangkatan. Image credits (Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said)


BERAKAS, Rabu, 3 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-9 Tahun 2014 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan dan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan 2014 sempena memperingati Sambutan Hari Belia Kebangsaan yang disambut setiap 1 Ogos turut dihadiri oleh lebih 4,000 belia.

Dalam sembah alu-aluan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di majlis tersebut menyembahkan sesungguhnya keberangkatan Kebawah DYMM mencerminkan akan keprihatinan baginda yang berterusan terhadap kemajuan dan perkembangan golongan belia yang merupakan aset yang sangat berharga kepada negara.

Jelas Yang Berhormat, keberangkatan baginda itu juga memberikan peringatan dan dorongan kepada golongan belia di negara ini akan harapan tinggi yang diletakkan kepada mereka untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara serta pada mempersiapsiagakan diri mereka untuk menjadi aset negara yang berharga.

Menyentuh mengenai tema sambutan, 'Bersatu Menghadapi Cabaran Abad Ke-21' Yang Berhormat menyatakan, ia merupakan semboyan kepada golongan belia untuk bangun dan bangkit mempersiap dan memperlengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta menanamkan nilai-nilai murni dan luhur yang berasaskan kepada tatasusila, adat budaya dan ajaran-ajaran ugama Islam.

"Dengan demikian mereka akan menjadi golongan yang unggul dan syummul lagi berjiwa besar bagi membangunkan diri mereka sendiri, bertanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat, sentiasa cinta kepada raja dan negara, taat berugama serta menyumbang kepada pembangunan bangsa," ujar Yang Berhormat. Acara kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah Belia Kebangsaan 2014 dalam empat kategori.


Bagi Anugerah Persatuan Belia dianugerahkan kepada Kumpulan Putra Seni yang menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah BND5,000 berserta sebuah plak dan sijil penghargaan.

Anugerah Pemimpin Belia Berjasa pula dianugerahkan kepada Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd. Zain Ariff yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND3,000 berserta sebuah plak, kain tenunan dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Awang Mohammad Anwar bin Awang Mohammad pula dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khidmat Belia dan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND3,000 berserta sebuah plak, kain tenunan dan sijil penghargaan.

Bagi Anugerah Belia Cemerlang pula, penerimanya Dayang Lee Ying Shi membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND3,000 berserta sebuah plak, kain tenunan dan sijil penghargaan.

Ikrar Belia dibacakan oleh sekumpulan belia diketuai oleh Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit, salah seorang belia Kelab Jalinan Akrab Belia Terunggul (JABaT).

Sambutan diserikan dengan Persembahan Belia 'Bersatu menghadapi cabaran Abad Ke-21' yang mengetengahkan bacaan sajak bertajuk 'Kalau Ada Orang Bertanya' disertai oleh gabungan 100 orang pelajar dari Sekolah Menengah Rimba, 50 orang pelajar dari Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah dan 25 orang pelajar dari Sekolah Menengah Berakas.

Kebawah DYMM dan kerabat diraja kemudiannya berangkat menyaksikan Pameran Belia yang bertemakan 'Dari Belia Untuk Belia', bertempat di Concourse, Stadium Tertutup berkenaan yang mempamerkan usaha-usaha dari golongan belia untuk membimbing dan membangun golongan sesama belia selain mempamerkan usaha bersepadu golongan belia di negara ini bergerak dan bergiat aktif di pelbagai bidang pada mendukung hasrat dan aspirasi negara.

Pameran yang akan dibukakan kepada orang awam selama empat hari itu mengandungi lima kluster iaitu Keusahawanan, Kesukarelawanan, Keugamaan, Pembangunan Diri dan Kebudayaan. Baginda juga berkenan menerima pesambah daripada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2014.

Pengisyhtiharan Hari Belia Kebangsaan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi 1 Ogos dijadikan sebagai Hari Belia Kebangsaan adalah satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di negara ini.

Kerajaan Kebawah DYMM dalam usaha membangun belia negara ini sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal dan fiskal.

Selain daripada itu, Hari Belia Kebangsaan juga merupakan 'platform' kepada para belia untuk mengadakan perjumpaan khusus bagi menghargai sumbangan dalam pembangunan belia.

Sesuai dengan matlamat Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2014 iaitu untuk mengiktiraf belia dan pergerakan belia di negara ini, maka adalah diharapkan dengan pelaksanaan sambutan ini akan dapat menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan golongan belia di dalam aktiviti-aktiviti kebeliaan khususnya dan terlibat sama dalam usaha pembangunan negara amnya termasuk dalam kerja sukarelawan.

Antara tujuan sambutan ialah untuk memartabatkan pergerakan belia dengan memperingati dan menyambut Hari Belia Kebangsaan, di samping mengumpulkan belia-belia di seluruh negara dalam satu perhimpunan dengan aktiviti-aktiviti yang bermakna dan memberi peluang kepada belia-belia berinteraksi serta bertukar-tukar pandangan dan pendapat dari pelbagai aspek.