BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb - Penulis prolifik negara Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff (gambar) hari ini menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) dalam satu majlis anugerah yang dipengerusikan oleh Puteri Sirivannavari Nariratana di Oriental Hotel, Bangkok.
Anugerah Penulis Asia Tenggara merupakan pengiktirafan yang diberikan khusus kepada penulis terkenal dan dicontohi di rantau ini. Anugerah berprestij ini merupakan wadah untuk para pemenang bagi mempercepatkan kemajuan mereka dalam bidang kesusasteraan dan mewujudkan pendedahan kepada masyarakat antarabangsa mengenai latar belakang sosial dan kebudayaan yang pelbagai.
Awang Mohd Zefri Ariff terlibat aktif dalam seni dan budaya, bahasa, media massa dan pergerakan belia. Selain itu beliau juga mengambil bahagian dalam perkhidmatan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pendeklamasian puisi Awang Mohd Zefri dan persembahan teater hasil karyanya telah dilihat di seluruh rantau ini, dan bukunya "Rapat" telah memenangi Hadiah Mastera pada tahun 2003.
Dalam pengiktirafan ini, beberapa panel telah dipilih menjalankan proses pemilihan untuk mencalonkan penulis tempatan di beberapa negara-negara dari rantau ini, termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Anugerah Penulis Asia Tenggara.
Calon penerima mestilah menghasilkan kerja individu dengan genre pilihan mereka seperti cerpen, novel, drama dan puisi yang berkualiti tinggi, yang diiktiraf oleh para pengkritik.
Dengan penganugerahan ini, Zefri Ariff menjadi penerima ke-26 Anugerah Penulis Asia Tenggara sejak bermulanya penganugerahan pada tahun 1986.
Pemenang Anugerah SEA Write juga diberikan penghormatan mengukir nama-nama mereka pada dinding Oriental Hotel, Bangkok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan